Harga rumah membebankan?
Isu Harga rumah adalah antara isu utama yang menjadi
bebanan kepada pengguna secara ratanya. Harga rumah yang semakin meningkat
menimbulkan kebimbangan kepada Pengguna yang mana golongan yang berpendapatan
rendah tidak mampu untuk memiliki rumah oleh kerana semakin lama semakin
meningkat. Saya pernah berbicara dengan salah seorang rakan yang tinggal di
kawasan Bandaraya Kuala Lumpur. Beliau bekerja yang hanya berpendapatan
sebanyak RM3,000.00 sebulan dan beliau terpaksa menyewa rumah pangsa yang
bernilai sebanyak RM1,200.00 sebulan. Ini bermakna hampir separuh daripada
pendapatannya dihabiskan untuk sewaan rumah sahaja. Hal ini diberatkan lagi
dengan beliau mempunyai tanggungan seramai 3 orang yang mana isterinya tidak
bekerja kerana menjaga anaknya di rumah. Beliau terpaksa bekerja membanting
tulang siang dan malam bagi mencukupkan pendapatannya.
Rumah atau tempat tinggal adalah keperluan asas kepada
pengguna secara amnya. Oleh kerana itu, Persatuan Pengguna Kedah melihat hal
ini secara serius dan beberapa langkah perlu diambil bagi menyelesaikan perkara
ini. Jika dapat dilihat pembangunan perumahan rancak dilakukan di
kawasan-kawasan Bandar dan ada diantaranya di kawasan luar Bandar bagi
menampung jumlah penduduk di Negeri Kedah. Ada diantaranya tanah-tanah
pertanian yang sepatutnya dijadikan sumber pertanian digunakan bagi projek
pembangunan perumahan. Namun semakin banyak perumahan dibina didapati semakin
tinggi permintaan bagi perumahan ini. Hari ke hari didapati semakin banyak isi
rumah dan keluarga mencari rumah untuk dijadikan tempat tinggal mereka. Tetapi
adakah mereka mampu memiliki rumah?
Pada tahun 2014, purata harga rumah teres setingkat untuk
kawasan Bandar Alor Setar adalah RM 150,000.00. Kini (2016) harga rumah
tersebut meningkat menjadi RM 200,000.00 keatas yang menjadikan peningkatan
hampir 30%. Kenapa ini semua berlaku? Jika dikaji, Punca Utama peningkatan
harga rumah ini adalah daripada peningkatan harga tanah di Negeri Kedah dari
tahun ke tahun. Selain itu, peningkatan kos buruh dan kos bahan binaan juga
turut menjadi punca kenaikan harga rumah ini. Hal ini amat membimbangkan dan
berkali-kali Pihak Persatuan Pengguna Kedah menggesa supaya pihak kerajaan
mengambil langkah-langkah awal bagi membendung perkara ini.
Apa yang dapat kita lihat pada hari ini pembinaan rumah
dengan harga yang tinggi tetap dijalankan dan ‘siapa pembelinya’? Jika dikaji
dengan lebih mendalam perkara ini, pembeli rumah adalah kebanyakkan daripada
kalangan pembeli tegar rumah yang membeli bukan untuk keperluan tetapi mengaut
untung daripada pembelian rumah tersebut. Sebagai contoh, sekiranya saya ada RM
300,000.00 dalam simpanan, saya akan membeli sebuah rumah dengan harga
RM200,000.00 walaupun saya masih memiliki rumah untuk diduduki dan rumah
tersebut saya akan sewa kepada orang lain bagi mengaut untung daripada sewaan
rumah. Golongan yang berpendapatan rendah yang tidak mampu untuk memiliki rumah
akan menyewa rumah tersebut dengan harga antara RM400 ke RM500 sebulan tanpa
had masa. Ini menguntungkan pemilik rumah. Jika dilihat permintaan rumah
daripada pemilik tegar inilah yang menganggu harga pasaran rumah semasa. Sekiranya
kerajaan menghadkan kepada pembeli rumah supaya satu keluarga hanya boleh
memiliki sebuah rumah sahaja akan mengurangkan permintaan terhadap harga rumah
dan harga rumah boleh dikawal.
Walaupun kerajaan memperkenalkan pelbagai inisentif khas
bagi membolehkan rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri seperti Rumah PRIMA,
Skim rumah pertamaku, Projek Perumahan Rakyat dan sebagainya, tetapi tidak
semua pengguna dapat merasainya kerana pemilihan rumahdan tempat tinggal adalah berpandukan kepada lokasi, peluang
ekonomi, kesesuaian dan sebagainya.
Oleh yang demikian, apa yang penting adalah melihat
sesuatu isu daripada sudut asas. Sekiranya asasnya dikukuhkan segala permasalahan
dapat diatasi dengan mudah.
Sekian
Mohamad Yusrizal bin Yusoff
Aktivis Pengguna
Persatuan Pengguna Kedah