Monday, February 3, 2014

Berhati-hati dengan tawaran pakej Jurugambar Perkahwinan

Perihal kisah Pengadu yang melangsungkan perkahwinannya pada tahun 2009. Beliau telah melanggan satu pakej yang ditawarkan oleh seorang Jurugambar yang menawarkan pakej istimewa kepada beliau dengan harga jauh lebih rendah daripada Jurugambar yang lain iaitu RM1+++ (indoor + outdoor). Pihak Jurugambar meminta deposit sebanyak RM 500.00 untuk pakej tersebut.

Oleh kerana pakej yang ditawarkan menarik, tanpa berfikir panjang pengguna membayar deposit berjumlah RM 500.00 untuk majlis perkahwinannya. Beliau tidak menyedari bahawa jurugambar itu tidak mempunyai pendaftaran syarikat yang sah dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Namun beliau tertarik dengan tawaran-tawaran istimewa dan harga yang rendah yang ditawarkan oleh jurugambar tersebut.

Pada hari perkahwinan beliau, jurugambar meminta supaya pengadu membayar keseluruhan jumlah yang dijanjikan. Tanpa berfikir panjang kerana kesibukan dalam menguruskan majlis perkahwinan, pengadu membayar keseluruhan wang tersebut.

Namun sehingga kini, gambar atau foto untuk Majlis Pernikahan dan Majlis Perkahwinan tidak diterima oleh pengadu. Pengadu berkali-kali menghubungi Jurugambar tersebut namun gagal. Perkara ini telah diketengahkan pengadu ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia namun tetap menemui jalan buntu. Pihak jurugambar tersebut juga gagal untuk menghadiri ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia pada tarikh yang ditetapkan.

Pengadu diarah untuk menengahkan perkara ini ke Mahkamah Sivil. Tetapi oleh kerana beliau tidak mampu untuk melantik peguam sehingga kini tiada tindakan yang dapat diambil.

No comments: