Sunday, February 9, 2014

Langkah Pengusaha Kedai Makanan Menjual Barangan dengan harga yang murah patut dicontohi

Dalam keadaan peningkatan Kos Sara Hidup yang membelenggu rakyat pada masa kini pengguna disarankan mengambil langkah bijak dalam mengatur belanjawan mereka. Pada masa kini, pelbagai pilihan boleh dibuat pengguna mengikut pendapatan masing-masing. Namun ada jenis-jenis barangan yang pengguna tidak dapat lari daripada menerima kesan kenaikan kos sara hidup mereka. Tidak semua pengguna mempunyai masa untuk pulang untuk makan tengahari di rumah untuk menjimatkan kos mereka. Kebanyakkan pengguna akan keluar seawal pagi untuk pergi kerja dan pulang selewat malam. Kebanyakkan mereka akan makan di luar.

Walaupun wujudnya pelbagai NGO, Jabatan dan Agensi Kerajaan yang menubuhkan Skuad Pemantau Harga Barang, namun kita lupa bahawa Restoran-restoran dan kedai-kedai makan sedang giat menaikkan harga makanan mereka. Apabila kami menemubual seorang pengusaha kedai makanan, mereka menyatakan bahawa harga kos barangan makanan naik melambung seperti ikan kembung, ayam, daging dan sayur-sayuran. Kita akui bahawa barangan ini akan naik melambung diatas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan seperti faktor cuaca dan jumlah permintaan yang tinggi pada musim-musim tertentu. Tetapi apabila harga barangan ini kembali stabil, harga makanan tersebut tidak turun seperti yang diharapkan. Apabila sekali lagi barangan tersebut naik, pengusaha sekali lagi akan menaikkan harga makanan mereka.

Hasil Pemantau pihak kami, walaupun terdapat kedai-kedai makan yang menaikkan harga makanan mereka dengan sesuka hati, ada juga kedai-kedai yang menjual makanan mereka jauh lebih murah daripada biasa. Terpulanglah kepada pengguna untuk memilih kedai-kedai makan mereka. Diseluruh Negeri Kedah sahaja terdapat beribu Restoran, Kedai Makanan, Cafeteria, Kantin, Warung, Gerai yang menyajikan pelbagai jenis masakan untuk dinikmati. Jadi pengguna mempunyai kuasa untuk membuat pilihan.

Sekiranya pengguna tidak mengunjungi kedai-kedai yang menaikan harga makan dengan sesuka hati ini, secara tidak langsung perniaggan mereka akan terjejas kerana kekurangan pelanggan.Akhirnya dengan sendirinya mereka akan menurunkan harga makanan mereka. Inilah dinamakan Persaingan.

Tinjauan pihak kami juga mendapati, terdapat sesetengah kedai-kedai makanan menubuhkan NGO mereka sendiri dan berpakat untuk menaikkan harga sehingga membebankan pengguna. Perkara ini dikesan banyak berlaku di kawasan-kawasan bandar sehingga tidak wujud persaingan lagi. Pengguna terbeban dengan perkara ini dan berlakunya peningkatan kos sara hidup mereka. Perkara ini pernah diketengahkan oleh pihak kami dan kerajaan mengambil inisiatif dengan mewujudkan Akta Persaingan. Harapan kami agar akta ini akan dipergunakan dengan sebaik-baiknya bagi memastikan hak-hak pengguna dilindungi.

Monday, February 3, 2014

Berhati-hati dengan tawaran pakej Jurugambar Perkahwinan

Perihal kisah Pengadu yang melangsungkan perkahwinannya pada tahun 2009. Beliau telah melanggan satu pakej yang ditawarkan oleh seorang Jurugambar yang menawarkan pakej istimewa kepada beliau dengan harga jauh lebih rendah daripada Jurugambar yang lain iaitu RM1+++ (indoor + outdoor). Pihak Jurugambar meminta deposit sebanyak RM 500.00 untuk pakej tersebut.

Oleh kerana pakej yang ditawarkan menarik, tanpa berfikir panjang pengguna membayar deposit berjumlah RM 500.00 untuk majlis perkahwinannya. Beliau tidak menyedari bahawa jurugambar itu tidak mempunyai pendaftaran syarikat yang sah dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Namun beliau tertarik dengan tawaran-tawaran istimewa dan harga yang rendah yang ditawarkan oleh jurugambar tersebut.

Pada hari perkahwinan beliau, jurugambar meminta supaya pengadu membayar keseluruhan jumlah yang dijanjikan. Tanpa berfikir panjang kerana kesibukan dalam menguruskan majlis perkahwinan, pengadu membayar keseluruhan wang tersebut.

Namun sehingga kini, gambar atau foto untuk Majlis Pernikahan dan Majlis Perkahwinan tidak diterima oleh pengadu. Pengadu berkali-kali menghubungi Jurugambar tersebut namun gagal. Perkara ini telah diketengahkan pengadu ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia namun tetap menemui jalan buntu. Pihak jurugambar tersebut juga gagal untuk menghadiri ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia pada tarikh yang ditetapkan.

Pengadu diarah untuk menengahkan perkara ini ke Mahkamah Sivil. Tetapi oleh kerana beliau tidak mampu untuk melantik peguam sehingga kini tiada tindakan yang dapat diambil.