Monday, July 18, 2016



Harga rumah membebankan?

Isu Harga rumah adalah antara isu utama yang menjadi bebanan kepada pengguna secara ratanya. Harga rumah yang semakin meningkat menimbulkan kebimbangan kepada Pengguna yang mana golongan yang berpendapatan rendah tidak mampu untuk memiliki rumah oleh kerana semakin lama semakin meningkat. Saya pernah berbicara dengan salah seorang rakan yang tinggal di kawasan Bandaraya Kuala Lumpur. Beliau bekerja yang hanya berpendapatan sebanyak RM3,000.00 sebulan dan beliau terpaksa menyewa rumah pangsa yang bernilai sebanyak RM1,200.00 sebulan. Ini bermakna hampir separuh daripada pendapatannya dihabiskan untuk sewaan rumah sahaja. Hal ini diberatkan lagi dengan beliau mempunyai tanggungan seramai 3 orang yang mana isterinya tidak bekerja kerana menjaga anaknya di rumah. Beliau terpaksa bekerja membanting tulang siang dan malam bagi mencukupkan pendapatannya.  

Rumah atau tempat tinggal adalah keperluan asas kepada pengguna secara amnya. Oleh kerana itu, Persatuan Pengguna Kedah melihat hal ini secara serius dan beberapa langkah perlu diambil bagi menyelesaikan perkara ini. Jika dapat dilihat pembangunan perumahan rancak dilakukan di kawasan-kawasan Bandar dan ada diantaranya di kawasan luar Bandar bagi menampung jumlah penduduk di Negeri Kedah. Ada diantaranya tanah-tanah pertanian yang sepatutnya dijadikan sumber pertanian digunakan bagi projek pembangunan perumahan. Namun semakin banyak perumahan dibina didapati semakin tinggi permintaan bagi perumahan ini. Hari ke hari didapati semakin banyak isi rumah dan keluarga mencari rumah untuk dijadikan tempat tinggal mereka. Tetapi adakah mereka mampu memiliki rumah?

Pada tahun 2014, purata harga rumah teres setingkat untuk kawasan Bandar Alor Setar adalah RM 150,000.00. Kini (2016) harga rumah tersebut meningkat menjadi RM 200,000.00 keatas yang menjadikan peningkatan hampir 30%. Kenapa ini semua berlaku? Jika dikaji, Punca Utama peningkatan harga rumah ini adalah daripada peningkatan harga tanah di Negeri Kedah dari tahun ke tahun. Selain itu, peningkatan kos buruh dan kos bahan binaan juga turut menjadi punca kenaikan harga rumah ini. Hal ini amat membimbangkan dan berkali-kali Pihak Persatuan Pengguna Kedah menggesa supaya pihak kerajaan mengambil langkah-langkah awal bagi membendung perkara ini.

Apa yang dapat kita lihat pada hari ini pembinaan rumah dengan harga yang tinggi tetap dijalankan dan ‘siapa pembelinya’? Jika dikaji dengan lebih mendalam perkara ini, pembeli rumah adalah kebanyakkan daripada kalangan pembeli tegar rumah yang membeli bukan untuk keperluan tetapi mengaut untung daripada pembelian rumah tersebut. Sebagai contoh, sekiranya saya ada RM 300,000.00 dalam simpanan, saya akan membeli sebuah rumah dengan harga RM200,000.00 walaupun saya masih memiliki rumah untuk diduduki dan rumah tersebut saya akan sewa kepada orang lain bagi mengaut untung daripada sewaan rumah. Golongan yang berpendapatan rendah yang tidak mampu untuk memiliki rumah akan menyewa rumah tersebut dengan harga antara RM400 ke RM500 sebulan tanpa had masa. Ini menguntungkan pemilik rumah. Jika dilihat permintaan rumah daripada pemilik tegar inilah yang menganggu harga pasaran rumah semasa. Sekiranya kerajaan menghadkan kepada pembeli rumah supaya satu keluarga hanya boleh memiliki sebuah rumah sahaja akan mengurangkan permintaan terhadap harga rumah dan harga rumah boleh dikawal.

Walaupun kerajaan memperkenalkan pelbagai inisentif khas bagi membolehkan rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri seperti Rumah PRIMA, Skim rumah pertamaku, Projek Perumahan Rakyat dan sebagainya, tetapi tidak semua pengguna dapat merasainya kerana pemilihan rumahdan tempat tinggal  adalah berpandukan kepada lokasi, peluang ekonomi, kesesuaian dan sebagainya.  
Oleh yang demikian, apa yang penting adalah melihat sesuatu isu daripada sudut asas. Sekiranya asasnya dikukuhkan segala permasalahan dapat diatasi dengan mudah.

Sekian

Mohamad Yusrizal bin Yusoff
Aktivis Pengguna
Persatuan Pengguna Kedah