Monday, July 31, 2017

PENIPUAN PEMBELIAN SECARA ONLINE



Dewasa ini, pembelian secara online menjadi semakin popular dikalangan pengguna yang mana dikatakan lebih mudah, menjimatkan masa, tidak perlu beratur panjang, tidak perlu bersesak dan sebagainya. Peniaga juga mengambil kesempatan ini untuk mempromosikan barang mereka melalui media sosial dan laman-laman penjualan online (online shopping).

Namun apa yang terjadi sekiranya terdapat penipuan dalam urusniaga ini. Persatuan Pengguna Kedah banyak menerima aduan mengenai pembelian online ini. Sukar juga untuk pengguna nak percaya pembayaran dan penerima produk melalui online ini. Namun inilah hakikat pembelian secara online, bayar dulu terima barang kemudian. Banyak aduan diterima barang tidak sampai ke tangan pengguna walaupun telah bertahun-tahun pengguna itu membuat pembayaran. Kadangkala pembayaran itu mencecah ribuan ringgit. Ada juga yang order barang lain sampai barang lain sebagai contoh order handphone dapat lesung batu yang menjadi viral suatu ketika dahulu.

Pengguna kebiasaannya tertarik kepada barangan melalui online ini dengan melihat sampel-sampel gambar yang dipaparkan oleh peniaga dan kebanyakkan pengguna tidak mengetahui kualiti barangan tersebut. Inilah yang menjadi permasalahan kepada pengguna. Pembelian secara online ini boleh dikatakan urusan jual beli dialam maya yang mana pengguna dan peniaga tidak berhadapan antara satu sama lain dan pengguna tidak akan dapat melihat barangan itu serta memeriksa kualiti barangan itu.

Apa pun dinasihatkan kepada pengguna supaya berhati-hati untuk membuat pembelian secara online. Berikut disertakan beberapa langkah berhati-hati untuk membeli secara online.

1.       Pastikan peniaga tersebut mempunyai daftar perniagaan yang sah (SSM).
2.       Pastikan laman web penjual mempunyai populariti yang baik.
3.       Sekiranya hendak membuat pembelian melalui media sosial pastikan reputasi peniaga tersebut baik dengan memeriksa komen-komen yang boleh juga dilihat melalui google.
4.       Pastikan peniaga tersebut mempunyai nombor telefon dan alamat yang betul.
5.       Pastikan transaksi wang dibuat kepada syarikat berdaftar bukannya akaun individu.
6.       Sekiranya perlu membuat pembayaran melalui akaun individu, pastikan akaun tersebut sah dengan mengetahui penama akaun, no kad pengenalan, no telefon dan alamat pemegang akaun.
7.       Sekiranya barang tersebut tidak sampai dalam masa yang ditetapkan atau kualiti barang tidak memuaskan, sila hubungi KPDNKK untuk laporan.

Tuesday, July 11, 2017

SKIM PELABURAN TIPU…….



Dalam dunia yang penuh pancaroba ini, pengguna dihimpit dengan permasalahan dari segi wang ringgit yang menyebabkan pelbagai cara digunakan untuk mendapatkan wang tambahan untuk menampung keluarga disamping menikmati kemewahan. Skim pelaburan sudah tentulah menjadi satu tarikan untuk mendapatkan wang mudah atau cepat. Di Malaysia banyak skim-skim pelaburan yang ditawarkan oleh agensi-agensi dan ada diantaranya tidak berdaftar dengan pihak Bank Negara Malaysia ini dinamakan Skim Pelaburan Haram.

Dalam skim pelaburan haram ini, mereka menawarkan janji manis diantaranya adalah ‘pelabur tidak akan rugi’, ‘risiko rendah’, ‘mesti untung’, ‘tak payah kerja boleh dapat wang’ dan sebagainya. Ini menarik perhatian kepada mangsa-mangsa skim pelaburan haram ini agar terjebak. Mengikut statistik Bank Negara Malaysia pada tahun 2015 sebanyak 591 kes dilaporkan dan pada tahun 2016 angka ini meningkat kepada 1006 kes yang melibatkan pelaburan haram.

Pengguna dinasihatkan berhati-hati dengan Skim Pelaburan haram ini. Kalau boleh tak payahlah melabur-melabur saham ni. Kalau nak melabur carilah Skim Pelaburan yang sah dan berdaftar, lebih selamat dan terjamin. Pengguna juga dinasihatkan supaya melayari laman web BNM sebelum membuat pelaburan agar duit dan wang anda selamat.

MOHAMAD YUSRIZAL BIN YUSOFF
Setiausaha
Persatuan Pengguna Kedah

Sunday, July 9, 2017

UBAH SUAI RUMAH…AWAS DENGAN KONTRAKTOR




Dewasa ini bagi pemilik rumah sendiri keinginan pengguna untuk mengubahsuai rumah mereka mengikut keperluan isi rumah adalah tinggi. Namun bukan mudah untuk mencari kontraktor yang baik dan boleh dipercayai. Sebagai pengguna kita perlu berhati-hati untuk memilih kontraktor. Ada diantara pengguna yang mengambil jalan mudah untuk memilih kontraktor mereka diatas faktor harga yang murah tanpa menghiraukan kualiti dan keselamatan pengubahsuaian rumah mereka.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 31 Mei 2016 yang mana gesaan banyak pihak supaya pihak CIDB mengambil tindakan terhadap kontraktor haram dan ada diantaranya adalah kontraktor yang melibatkan warga asing seperti Indonesia, Bangladesh dan Myanmar. Ada diantara kes yang diterima oleh Persatuan Pengguna Kedah, pengadu mendakwa selepas mereka membayar wang kepada kontraktor, kontraktor tersebut terus hilang dan ada diantaranya pulang ke Negara masing-masing. Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia juga mengakui banyak menerima aduan mengenai perkara ini dan tindakan sukar diambil kerana kontraktor tiada lesen sah, melibatkan warga asing dan tuntutan melebihi RM25,000.00.

Oleh itu, sebagai langkah berjaga-jaga pengguna dinasihatkan

i)  Melantik Kontraktor pengubahsuaian yang mempunyai syarikat, nama syarikat, alamat syarikat serta lesen daripada CIDB

ii) Semak rekod prestasi kontraktor tersebut

iii) Membuat perjanjian yang sah diantara pemilik rumah dan kontraktor.

iv) Mempunyai resit yang sah selepas membuat pembayaran.

Ini akan mengelakkan daripada pengguna diperdaya oleh kontraktor. Dari segi harga, pengguna mempunyai hak untuk memilih kontraktor yang murah dan berkualiti. Pilihlah secara bijak.

Semoga bermanfaat

Mohamad Yusrizal bin Yusoff
Setiausaha
Persatuan Pengguna Kedah