Monday, July 18, 2016



Harga rumah membebankan?

Isu Harga rumah adalah antara isu utama yang menjadi bebanan kepada pengguna secara ratanya. Harga rumah yang semakin meningkat menimbulkan kebimbangan kepada Pengguna yang mana golongan yang berpendapatan rendah tidak mampu untuk memiliki rumah oleh kerana semakin lama semakin meningkat. Saya pernah berbicara dengan salah seorang rakan yang tinggal di kawasan Bandaraya Kuala Lumpur. Beliau bekerja yang hanya berpendapatan sebanyak RM3,000.00 sebulan dan beliau terpaksa menyewa rumah pangsa yang bernilai sebanyak RM1,200.00 sebulan. Ini bermakna hampir separuh daripada pendapatannya dihabiskan untuk sewaan rumah sahaja. Hal ini diberatkan lagi dengan beliau mempunyai tanggungan seramai 3 orang yang mana isterinya tidak bekerja kerana menjaga anaknya di rumah. Beliau terpaksa bekerja membanting tulang siang dan malam bagi mencukupkan pendapatannya.  

Rumah atau tempat tinggal adalah keperluan asas kepada pengguna secara amnya. Oleh kerana itu, Persatuan Pengguna Kedah melihat hal ini secara serius dan beberapa langkah perlu diambil bagi menyelesaikan perkara ini. Jika dapat dilihat pembangunan perumahan rancak dilakukan di kawasan-kawasan Bandar dan ada diantaranya di kawasan luar Bandar bagi menampung jumlah penduduk di Negeri Kedah. Ada diantaranya tanah-tanah pertanian yang sepatutnya dijadikan sumber pertanian digunakan bagi projek pembangunan perumahan. Namun semakin banyak perumahan dibina didapati semakin tinggi permintaan bagi perumahan ini. Hari ke hari didapati semakin banyak isi rumah dan keluarga mencari rumah untuk dijadikan tempat tinggal mereka. Tetapi adakah mereka mampu memiliki rumah?

Pada tahun 2014, purata harga rumah teres setingkat untuk kawasan Bandar Alor Setar adalah RM 150,000.00. Kini (2016) harga rumah tersebut meningkat menjadi RM 200,000.00 keatas yang menjadikan peningkatan hampir 30%. Kenapa ini semua berlaku? Jika dikaji, Punca Utama peningkatan harga rumah ini adalah daripada peningkatan harga tanah di Negeri Kedah dari tahun ke tahun. Selain itu, peningkatan kos buruh dan kos bahan binaan juga turut menjadi punca kenaikan harga rumah ini. Hal ini amat membimbangkan dan berkali-kali Pihak Persatuan Pengguna Kedah menggesa supaya pihak kerajaan mengambil langkah-langkah awal bagi membendung perkara ini.

Apa yang dapat kita lihat pada hari ini pembinaan rumah dengan harga yang tinggi tetap dijalankan dan ‘siapa pembelinya’? Jika dikaji dengan lebih mendalam perkara ini, pembeli rumah adalah kebanyakkan daripada kalangan pembeli tegar rumah yang membeli bukan untuk keperluan tetapi mengaut untung daripada pembelian rumah tersebut. Sebagai contoh, sekiranya saya ada RM 300,000.00 dalam simpanan, saya akan membeli sebuah rumah dengan harga RM200,000.00 walaupun saya masih memiliki rumah untuk diduduki dan rumah tersebut saya akan sewa kepada orang lain bagi mengaut untung daripada sewaan rumah. Golongan yang berpendapatan rendah yang tidak mampu untuk memiliki rumah akan menyewa rumah tersebut dengan harga antara RM400 ke RM500 sebulan tanpa had masa. Ini menguntungkan pemilik rumah. Jika dilihat permintaan rumah daripada pemilik tegar inilah yang menganggu harga pasaran rumah semasa. Sekiranya kerajaan menghadkan kepada pembeli rumah supaya satu keluarga hanya boleh memiliki sebuah rumah sahaja akan mengurangkan permintaan terhadap harga rumah dan harga rumah boleh dikawal.

Walaupun kerajaan memperkenalkan pelbagai inisentif khas bagi membolehkan rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri seperti Rumah PRIMA, Skim rumah pertamaku, Projek Perumahan Rakyat dan sebagainya, tetapi tidak semua pengguna dapat merasainya kerana pemilihan rumahdan tempat tinggal  adalah berpandukan kepada lokasi, peluang ekonomi, kesesuaian dan sebagainya.  
Oleh yang demikian, apa yang penting adalah melihat sesuatu isu daripada sudut asas. Sekiranya asasnya dikukuhkan segala permasalahan dapat diatasi dengan mudah.

Sekian

Mohamad Yusrizal bin Yusoff
Aktivis Pengguna
Persatuan Pengguna Kedah

Monday, June 6, 2016

Peniaga Untung, Pengguna Teraniaya



Peniaga Untung, Pengguna Teraniaya

Bulan Ramadhan ini telah memberi ruang dan peluang kepada peniaga-peniaga kecil membuka Bazaar dan Gerai makanan untuk juadah berbuka puasa di Kawasan-kawasan yang dianjurkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Barang diingat bukan semua peniaga itu beretika. Ada diantara peniaga bazaar yang memikirkan tentang keuntungan semata-mata tanpa memikirkan keselamatan dan kesihatan pengguna. Seperti tahun-tahun lalu, kita banyak mendengar berlakunya keracunan makanan pada bulan Ramadhan. Ini disebabkan kebanyakkan pengguna memikirkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan keselamatan orang lain dalam erti kata lain ‘meniaga tak ikhlas’.

Perkara ini adalah perkara yang sukar dibendung disebabkan dari segi rupa, saiz dan bentuk makanan tercemar ini adalah sama seperti yang biasa. Ini menyukarkan pengguna untuk mengesan makanan tersebut boleh dimakan atau tidak. Mencium atau mengambil bau adalah salah satu langkah untuk mengenalpasti makanan tercemar. Deria bau ini bukan saja boleh mengenalpasti makanan tercemar, ramuan dalam makanan juga boleh dikesan (sekiranya anda pandai memasak).

Walau bagaimanapun pengguna mempunyai hak untuk memilih. Carilah gerai yang bersih dan diyakini kebersihannya. Walaubagaimanapun Bazaar ini adalah salah satu kemudahan untuk juadah umat Islam berbuka puasa. Langkah yang terbaik adalah memasak sendiri juadah untuk  berbuka.

Sekian 

Mohamad Yusrizal Yusoff
 Persatuan Pengguna Kedah

Wednesday, June 1, 2016



Bazaar Ramadhan atau Bazir Ramadhan?
 
Setiap tahun umat Islam di Malaysia akan menyambut kedatangan Ramadhan yang penuh berkah dan hikmah dan sangat-sangat dinantikan oleh orang-orang yang beriman. Dan secara tradisinya juga banyaklah Bazaar-Bazaar Ramadhan yang dianjurkan oleh pelbagai Pihak Berkuasa Tempatan untuk kemudahan orang-orang Islam membeli makanan mereka untuk juadah berbuka Puasa. Selain orang Islam turut sama menikmati kemudahan ini adalah orang-orang bukan Islam yang mana turut mengambil peluang membeli juadah makan malam mereka.

Pelbagai Gerai dan beraneka pilihan makanan boleh didapati di Bazaar Ramadhan sehinggakan makanan yang tidak pernah ditawarkan atau dijual pada hari biasa boleh didapati di bazaar Ramadhan. Inilah uniknya budaya dan tradisi di Malaysia. Hal ini juga menarik minat para pelancong untuk melihat dan menikmati makanan-makanan istimewa dan tradisi di Malaysia.

Namun begitu apa yang menyedihkan adalah pembaziran berleluasa berlaku setiap kali tibanya Bulan Ramadhan. Sekiranya disingkap kembali erti sebenar Berpuasa dalam konteks Islam adalah ‘Menahan Diri daripada Lapar dan Dahaga serta Perbuatan Dosa’
. Ini adalah bermakna Umat Islam di sarankan untuk berjimat-cermat pada bulan ini disamping merasa sendiri kesengsaraan mereka-mereka yang tidak berkeupayaan/berkemampuan/mangsa kebuluran dan sebagainya.Malangnya kita lupa semua ini, setiap kali tibanya bulan puasa, juadahnya dibeli mengalahkan tak makan setahun. Tetapi tidakkah Islam mengajar kita mengawal hawa nafsu kita?

Pada tinjauan Persatuan Pengguna Kedah, mendapati Pembaziran makanan pada Bulan Ramadhan melebihi pada bulan-bulan yang lain. Makanan yang masih lagi boleh dimakan, dibuang begitu sahaja akibat kekenyangan. Mengapakah perkara ini berlaku? Tidakkah umat Islam memahami Agama Islam yang sebenar. Firman Allah dalam

Surah Al-A’raff ayat 3 :

‘….dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampui batas’

Ayat ini terang menunjukkan maksudnya bahawa Allah melarang kita membazir. Dan Firman Allah…..

Surah Al-Israa’ Ayat 26 dan 27

Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.  

Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.

Seharusnya kita sebagai umat Islam memperbanyakkan sedekah jariah pada bulan Ramadhan ini daripada membuat pembaziran yang mana pembazir itu adalah saudara kepada Syaitan. Apabila kita mengambil ikhtibar daripada konteks berpuasa itu sendiri dapatlah disingkapkan bahawa berlaku penjimatan dalam berpuasa. Berpuasa adalah satu garis sempadan yang diletakkan supaya kita tidak melampaui batas.

Apa yang terbaik adalah sebagai umat Islam kita perbanyakkan Ibadah di Bulan Ramadhan dan memperbanyakkan sedekah dan berzakat supaya hidup lebih diberkati Allah.

Cukuplah sekadar berbuka dengan secara ala kadar yang mana berpuasa juga dapat menyihatkan tubuh badan, menguatkan imunisasi kita.

Semoga Bermanfaat
Sekadar renungan.

Mohamad Yusrizal bin Yusoff
Persatuan Pengguna Kedah

Tuesday, May 24, 2016

Isu Pembelian Barangan Elektrik



Barangan elektrik adalah salah satu barangan keperluan semasa pengguna. Barangan elektrik ini merupakan kemudahan kepada pengguna dalam menjalani kehidupan mereka. Sebagai contoh penggunaan periuk nasi yang mana pengguna tidak perlu lagi memasak nasi menggunakan dapur api atau dapur gas, hanya memasukkan air didalam beras dan menekan satu suis sahaja nasi tersebut akan masak sepenuhnya.

Namun cabaran pengguna pada masa kini adalah kualiti barangan yang dibeli berbanding dengan harga yang dibeli. Banyak kedai-kedai elektrik tumbuh bagaikan cendawan yang menawarkan pelbagai harga dan pakej-pakej yang menarik selepas pembelian barangan elektrik tersebut. Kedai-kedai elektrik ini juga akan melantik jurujual yang mana bertujuan untuk mempromosikan barangan mereka. Ada juga barangan elektrik ini dijual dari rumah ke rumah yang kini jarang-jarang sekali didapati.

Kenapa barangan elektrik perlu ada jaminan?

Pada kebiasaannya barang-barangan elektrik mempunyai jaminan. Menurut kajian Persatuan Pengguna Kedah, ejen-ejen jualan (Kedai Elektrik) berisiko 50% untuk barangan tersebut rosak atau tidak berfungsi atau tidak mengikut speksifikasi. Kebanyakkan barangan elektrik yang dibeli oleh pengguna akan rosak atau tidak berfungsi selepas beberapa ketika penggunaannya. Pada masa inilah kad jaminan (warranty card) itu berguna kepada pengguna. Namun sejauh mana jaminan ejen jualan untuk memperbaiki barangan elektrik tersebut? Ada pula pengguna merungut menyatakan bahawa barangan yang diperbaiki terpaksa dihantar berulang kali kepada pihak jualan untuk diperbaiki kerana terlalu kerap rosak. Ada pula sesuatu barang yang dihantar mengambil masa yang terlalu lama untuk diperbaiki sehinggakan pengguna tidak dapat menggunakan barangan tersebut dalam tempoh yang lama.

Daya tarikan jurujual (promoter).

Dalam mana-mana perniagaan sekalipun, jurujual atau promoter berfungsi sebagai ejen mempromosikan barangan. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk melariskan jualan mereka. Kami banyak menerima aduan mengenai salah faham antara jurujual dan pengguna yang mana jurujual memberikan maklumat tidak tepat yang menarik hati pengguna menyebabkan pengguna membeli produk tersebut. Apabila produk itu dibeli, didapati apa yang diperkatakan tidak terdapat dalam produk tersebut. Ini menyebabkan pengguna teraniaya dalam urusan jual beli ini.

Pembelian barangan elektrik secara bayaran ansuran.

Pada hari ini, barangan elektrik dijual dengan pelbagai harga dan nilai hingga mencecah puluhan ribu ringgit menyebabkan pengguna cenderung untuk memiliki barangan itu secara hutang atau bayaran ansuran. Bayangkan perkara yang kami sebutkan diatas berlaku? Barangan tidak dapat digunakan dan hutang perlu dibayar. Daripada sini berlakulah hutang tertunggak dikalangan pengguna sehingga peringkat nama pengguna disenaraihitamkan. Kebanyakkan pengguna jarang-jarang sekali meneliti kontrak pembelian sebelum membeli sesuatu barangan. Ini memberi advantage kepada Peniaga untuk meletakkan terma-terma yang memihak kepada mereka.

Barang diingat pembayaran ansuran kebiasaanya berharga 3 atau 4 kali ganda tinggi daripada harga barangan tersebut. Setahun dua tahun memanglah boleh bayar. Tapi kalau sampai 3 tahun? Barang tu pun kita tak tahu boleh guna ka tidak.

Disini Persatuan Pengguna Kedah menasihatkan pengguna agar menjadi pengguna yang bijak dan menggunakan hak sebagai pengguna iaitu hak untuk memilih.

Berikut adalah beberapa tips dan panduan pengguna untuk membeli barangan elektrik.

1.       Mengenalpasti Jenama dan Buatan Barangan Elektrik
2.       Mengenalpasti Tarikh Pembuatan Barangan Elektrik
3.       Tidak terpengaruh semata-mata dengan ejen jurujual dan iklan – membuat kajian terperinci tentang jenama dan kualiti barangan.
4.       Mencuba terlebih dahulu barangan elektrik sebelum membeli
5.       Meneliti kontrak pembelian dan mempertimbangkan kontrak pembelian.
6.       Banyak bertanya kepada jurujual tentang produk dan mempertimbangkan segala jawapan.
7.       Memeriksa dengan teliti jaminan keatas barangan yang diberikan.

Sekian

Mohamad Yusrizal bin Yusoff
Setiausaha
Persatuan Pengguna Kedah