Monday, July 31, 2017

PENIPUAN PEMBELIAN SECARA ONLINE



Dewasa ini, pembelian secara online menjadi semakin popular dikalangan pengguna yang mana dikatakan lebih mudah, menjimatkan masa, tidak perlu beratur panjang, tidak perlu bersesak dan sebagainya. Peniaga juga mengambil kesempatan ini untuk mempromosikan barang mereka melalui media sosial dan laman-laman penjualan online (online shopping).

Namun apa yang terjadi sekiranya terdapat penipuan dalam urusniaga ini. Persatuan Pengguna Kedah banyak menerima aduan mengenai pembelian online ini. Sukar juga untuk pengguna nak percaya pembayaran dan penerima produk melalui online ini. Namun inilah hakikat pembelian secara online, bayar dulu terima barang kemudian. Banyak aduan diterima barang tidak sampai ke tangan pengguna walaupun telah bertahun-tahun pengguna itu membuat pembayaran. Kadangkala pembayaran itu mencecah ribuan ringgit. Ada juga yang order barang lain sampai barang lain sebagai contoh order handphone dapat lesung batu yang menjadi viral suatu ketika dahulu.

Pengguna kebiasaannya tertarik kepada barangan melalui online ini dengan melihat sampel-sampel gambar yang dipaparkan oleh peniaga dan kebanyakkan pengguna tidak mengetahui kualiti barangan tersebut. Inilah yang menjadi permasalahan kepada pengguna. Pembelian secara online ini boleh dikatakan urusan jual beli dialam maya yang mana pengguna dan peniaga tidak berhadapan antara satu sama lain dan pengguna tidak akan dapat melihat barangan itu serta memeriksa kualiti barangan itu.

Apa pun dinasihatkan kepada pengguna supaya berhati-hati untuk membuat pembelian secara online. Berikut disertakan beberapa langkah berhati-hati untuk membeli secara online.

1.       Pastikan peniaga tersebut mempunyai daftar perniagaan yang sah (SSM).
2.       Pastikan laman web penjual mempunyai populariti yang baik.
3.       Sekiranya hendak membuat pembelian melalui media sosial pastikan reputasi peniaga tersebut baik dengan memeriksa komen-komen yang boleh juga dilihat melalui google.
4.       Pastikan peniaga tersebut mempunyai nombor telefon dan alamat yang betul.
5.       Pastikan transaksi wang dibuat kepada syarikat berdaftar bukannya akaun individu.
6.       Sekiranya perlu membuat pembayaran melalui akaun individu, pastikan akaun tersebut sah dengan mengetahui penama akaun, no kad pengenalan, no telefon dan alamat pemegang akaun.
7.       Sekiranya barang tersebut tidak sampai dalam masa yang ditetapkan atau kualiti barang tidak memuaskan, sila hubungi KPDNKK untuk laporan.

Tuesday, July 11, 2017

SKIM PELABURAN TIPU…….



Dalam dunia yang penuh pancaroba ini, pengguna dihimpit dengan permasalahan dari segi wang ringgit yang menyebabkan pelbagai cara digunakan untuk mendapatkan wang tambahan untuk menampung keluarga disamping menikmati kemewahan. Skim pelaburan sudah tentulah menjadi satu tarikan untuk mendapatkan wang mudah atau cepat. Di Malaysia banyak skim-skim pelaburan yang ditawarkan oleh agensi-agensi dan ada diantaranya tidak berdaftar dengan pihak Bank Negara Malaysia ini dinamakan Skim Pelaburan Haram.

Dalam skim pelaburan haram ini, mereka menawarkan janji manis diantaranya adalah ‘pelabur tidak akan rugi’, ‘risiko rendah’, ‘mesti untung’, ‘tak payah kerja boleh dapat wang’ dan sebagainya. Ini menarik perhatian kepada mangsa-mangsa skim pelaburan haram ini agar terjebak. Mengikut statistik Bank Negara Malaysia pada tahun 2015 sebanyak 591 kes dilaporkan dan pada tahun 2016 angka ini meningkat kepada 1006 kes yang melibatkan pelaburan haram.

Pengguna dinasihatkan berhati-hati dengan Skim Pelaburan haram ini. Kalau boleh tak payahlah melabur-melabur saham ni. Kalau nak melabur carilah Skim Pelaburan yang sah dan berdaftar, lebih selamat dan terjamin. Pengguna juga dinasihatkan supaya melayari laman web BNM sebelum membuat pelaburan agar duit dan wang anda selamat.

MOHAMAD YUSRIZAL BIN YUSOFF
Setiausaha
Persatuan Pengguna Kedah

Sunday, July 9, 2017

UBAH SUAI RUMAH…AWAS DENGAN KONTRAKTOR




Dewasa ini bagi pemilik rumah sendiri keinginan pengguna untuk mengubahsuai rumah mereka mengikut keperluan isi rumah adalah tinggi. Namun bukan mudah untuk mencari kontraktor yang baik dan boleh dipercayai. Sebagai pengguna kita perlu berhati-hati untuk memilih kontraktor. Ada diantara pengguna yang mengambil jalan mudah untuk memilih kontraktor mereka diatas faktor harga yang murah tanpa menghiraukan kualiti dan keselamatan pengubahsuaian rumah mereka.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 31 Mei 2016 yang mana gesaan banyak pihak supaya pihak CIDB mengambil tindakan terhadap kontraktor haram dan ada diantaranya adalah kontraktor yang melibatkan warga asing seperti Indonesia, Bangladesh dan Myanmar. Ada diantara kes yang diterima oleh Persatuan Pengguna Kedah, pengadu mendakwa selepas mereka membayar wang kepada kontraktor, kontraktor tersebut terus hilang dan ada diantaranya pulang ke Negara masing-masing. Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia juga mengakui banyak menerima aduan mengenai perkara ini dan tindakan sukar diambil kerana kontraktor tiada lesen sah, melibatkan warga asing dan tuntutan melebihi RM25,000.00.

Oleh itu, sebagai langkah berjaga-jaga pengguna dinasihatkan

i)  Melantik Kontraktor pengubahsuaian yang mempunyai syarikat, nama syarikat, alamat syarikat serta lesen daripada CIDB

ii) Semak rekod prestasi kontraktor tersebut

iii) Membuat perjanjian yang sah diantara pemilik rumah dan kontraktor.

iv) Mempunyai resit yang sah selepas membuat pembayaran.

Ini akan mengelakkan daripada pengguna diperdaya oleh kontraktor. Dari segi harga, pengguna mempunyai hak untuk memilih kontraktor yang murah dan berkualiti. Pilihlah secara bijak.

Semoga bermanfaat

Mohamad Yusrizal bin Yusoff
Setiausaha
Persatuan Pengguna Kedah  

Saturday, June 17, 2017

Penggunaan Touch And Go/Smart Tag Membebankan Pengguna.



Penggunaan Touch And Go/Smart Tag Membebankan Pengguna.

Tidak dapat dinafikan, penggunaan touch and go dan smart tag adalah salah satu sistem yang memudahkan pengguna lebuhraya untuk mempercepatkan pembayaran tol. Namun, langkah pihak konsesi lebuhraya yang mewajibkan penggunaan sistem touch and go dan smart tag rata-rata telah membuatkan pengguna sedikit terbeban. Berikut adalah contoh situasi dan keadaan dimana membuatkan pengguna terbeban menurut rungutan rata-rata pengguna

Ada pengguna lebuhraya yang sangat jarang menggunakan lebuhraya untuk ke destinasi tertentu. Pengguna ini hanya menggunakan lebuhraya pada hari-hari yang tertentu sahaja. Sudah tentulah bagi pengguna ini sekiranya hendak menggunakan lebuhraya terpaksa membeli kad touch and go untuk menggunakan lebuhraya. Sekiranya tiada kad, mereka terpaksa membeli kad tersebut dengan harga RM10.00 dan tambah nilai sebanyak RM10.00 (minimum). Walhal, kadang-kadang pembayaran tol tidak sampai RM2.00. Kemudian pengguna ini tidak lagi menggunakan lebuhraya dan kad tersebut akan tamat tempoh dan kemana perginya baki lagi RM8.00? Ini adalah satu penganiayaan kepada pengguna.

Pengguna yang jarang-jarang menggunakan lebuhraya ini akan  terpaksa menyediakan tunai sebanyak RM20 setiap kali mereka hendak menggunakan lebuhraya. Bukankah ini membebankan pengguna? Sekiranya dapat menggunakan tunai, pengguna ini hanya membayar kadar tol sahaja.  

Sekiranya dapat pihak lebuhraya menyediakan perkhidmatan kaedah pembayaran secara tunai dan touch and go, ini dapat memberi pilihan kepada pengguna untuk memilih cara pembayaran mereka. Sekiranya cara pembayaran menggunakan touch and go ini dapat mengurangkan kesesakkan, pihak kami melihat masih berlaku kesesakan di tol-tol. Kenapa? Persatuan Pengguna Kedah juga mendapat sangatlah sukar untuk pihak Tol untuk menyediakan tempat tambah nilai yang mudah kepada pengguna.

Semoga bermanfaat

Monday, July 18, 2016



Harga rumah membebankan?

Isu Harga rumah adalah antara isu utama yang menjadi bebanan kepada pengguna secara ratanya. Harga rumah yang semakin meningkat menimbulkan kebimbangan kepada Pengguna yang mana golongan yang berpendapatan rendah tidak mampu untuk memiliki rumah oleh kerana semakin lama semakin meningkat. Saya pernah berbicara dengan salah seorang rakan yang tinggal di kawasan Bandaraya Kuala Lumpur. Beliau bekerja yang hanya berpendapatan sebanyak RM3,000.00 sebulan dan beliau terpaksa menyewa rumah pangsa yang bernilai sebanyak RM1,200.00 sebulan. Ini bermakna hampir separuh daripada pendapatannya dihabiskan untuk sewaan rumah sahaja. Hal ini diberatkan lagi dengan beliau mempunyai tanggungan seramai 3 orang yang mana isterinya tidak bekerja kerana menjaga anaknya di rumah. Beliau terpaksa bekerja membanting tulang siang dan malam bagi mencukupkan pendapatannya.  

Rumah atau tempat tinggal adalah keperluan asas kepada pengguna secara amnya. Oleh kerana itu, Persatuan Pengguna Kedah melihat hal ini secara serius dan beberapa langkah perlu diambil bagi menyelesaikan perkara ini. Jika dapat dilihat pembangunan perumahan rancak dilakukan di kawasan-kawasan Bandar dan ada diantaranya di kawasan luar Bandar bagi menampung jumlah penduduk di Negeri Kedah. Ada diantaranya tanah-tanah pertanian yang sepatutnya dijadikan sumber pertanian digunakan bagi projek pembangunan perumahan. Namun semakin banyak perumahan dibina didapati semakin tinggi permintaan bagi perumahan ini. Hari ke hari didapati semakin banyak isi rumah dan keluarga mencari rumah untuk dijadikan tempat tinggal mereka. Tetapi adakah mereka mampu memiliki rumah?

Pada tahun 2014, purata harga rumah teres setingkat untuk kawasan Bandar Alor Setar adalah RM 150,000.00. Kini (2016) harga rumah tersebut meningkat menjadi RM 200,000.00 keatas yang menjadikan peningkatan hampir 30%. Kenapa ini semua berlaku? Jika dikaji, Punca Utama peningkatan harga rumah ini adalah daripada peningkatan harga tanah di Negeri Kedah dari tahun ke tahun. Selain itu, peningkatan kos buruh dan kos bahan binaan juga turut menjadi punca kenaikan harga rumah ini. Hal ini amat membimbangkan dan berkali-kali Pihak Persatuan Pengguna Kedah menggesa supaya pihak kerajaan mengambil langkah-langkah awal bagi membendung perkara ini.

Apa yang dapat kita lihat pada hari ini pembinaan rumah dengan harga yang tinggi tetap dijalankan dan ‘siapa pembelinya’? Jika dikaji dengan lebih mendalam perkara ini, pembeli rumah adalah kebanyakkan daripada kalangan pembeli tegar rumah yang membeli bukan untuk keperluan tetapi mengaut untung daripada pembelian rumah tersebut. Sebagai contoh, sekiranya saya ada RM 300,000.00 dalam simpanan, saya akan membeli sebuah rumah dengan harga RM200,000.00 walaupun saya masih memiliki rumah untuk diduduki dan rumah tersebut saya akan sewa kepada orang lain bagi mengaut untung daripada sewaan rumah. Golongan yang berpendapatan rendah yang tidak mampu untuk memiliki rumah akan menyewa rumah tersebut dengan harga antara RM400 ke RM500 sebulan tanpa had masa. Ini menguntungkan pemilik rumah. Jika dilihat permintaan rumah daripada pemilik tegar inilah yang menganggu harga pasaran rumah semasa. Sekiranya kerajaan menghadkan kepada pembeli rumah supaya satu keluarga hanya boleh memiliki sebuah rumah sahaja akan mengurangkan permintaan terhadap harga rumah dan harga rumah boleh dikawal.

Walaupun kerajaan memperkenalkan pelbagai inisentif khas bagi membolehkan rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri seperti Rumah PRIMA, Skim rumah pertamaku, Projek Perumahan Rakyat dan sebagainya, tetapi tidak semua pengguna dapat merasainya kerana pemilihan rumahdan tempat tinggal  adalah berpandukan kepada lokasi, peluang ekonomi, kesesuaian dan sebagainya.  
Oleh yang demikian, apa yang penting adalah melihat sesuatu isu daripada sudut asas. Sekiranya asasnya dikukuhkan segala permasalahan dapat diatasi dengan mudah.

Sekian

Mohamad Yusrizal bin Yusoff
Aktivis Pengguna
Persatuan Pengguna Kedah