Tuesday, December 9, 2008

Masalah Rumah Terbengkalai di Taman Seri Derga Selesai

Datuk Yusoff sedang memerhatikan pemilik rumah
memasang pendawaiannya sendiri
Penduduk terpaksa mengangkut air dari sungai berdekatan
untuk mencuci rumah mereka

Presiden CAKE Datuk Yusoff sedang memerhatikan
Projek Perumahan Terbengkalai Taman Seri Derga Fasa 2


Gambar 29 buah rumah terbengkalai Taman Seri Derga 2


Alor Star - Seramai 29 pemilik rumah Taman Seri Derga Fasa 2 di sini menarik nafas lega apabila projek perumahan itu yang terbengkalai sejak dua tahun kini telah boleh diduduki oleh penduduk.

Projek perumah yang mula dibina pada September 2004 itu telah ditinggalkan pemaju setelah kerja pembinaan tinggal 20 peratus lagi.

Hasil bantuan Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) taman tersebut sudah boleh dibekalkan dengan elektrik oleh TNB yang dibiayai sendiri oleh pembeli-pembeli rumah.

Seorang pemilik, Norishah Hanafi, 43 tahun berkata, setelah hampir dua tahun terpaksa membayar hutang bank untuk membeli rumah berkenaan, dia kini lega apabila rumah tersebut boleh diduduki.

Menurutnya, beliau terpaksa membayar pinjaman bank sebanyak RM535 sebulan sedangkan rumah yang dibeli itu tidak boleh diduduki walaupun dijadualkan siap pada tahun 2006.

"Saya lega apabila CAKE bersetuju membantu pembeli rumah di taman ini termasuk mendapatkan CF," katanya yang bekerja sebagai penyelia syarikat swasta ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Selain itu, Norishah berkata, sepanjang projek tersebut terbengkalai, rumah mereka dijadikan sarang penagih dan tempat maksiat oleh pasangan remaja.

Seorang lagi pemilik, Mohd Tajudin Abdul Salam,52 pula memberitahu tidak cukup memikir masalah pemaju yang 'hilang', ada pihak lain pula mengambil kesempatan mencuri pintu, tingkap, dan pagar rumah mereka yang telah dipasang oleh pemaju sebelum ini.

Katanya, biarpun nasib mereka tidak ubah seperti 'sudah jatuh ditimpa tangga' namun segala masalah tersebut berjaya diselesaikan CAKE walaupun terpaksa mengeluarkan sedikit perbelanjaan sendiri untuk membeli semula barangan yang dicuri.

Sementara itu, menurut Presiden CAKE, Datuk Yusoff Ismail, kejayaan itu diperoleh apabila pemilik rumah bersetuju untuk membersihkan persekitaran yang dipenuhi semak-samun.

" CAKE telah mengemukakan permohonan kepada TNB untuk menyalurkan bekalan elektrik ke rumah-rumah di taman itu" ujarnya.

Tambahannya kini semua pemilik boleh menduduki rumah masing-masing walaupun terdapat sebahagian rumah yang masih belum dibekalkan elektrik.

Dipetik daripada KOSMO! bertarikh 6 Disember 2008

Thursday, December 4, 2008

Pengguna Diminta Berhati-hati Dengan Taktik Jualan Langsung

Pengguna diminta berhati-hati dengan taktik penipuan oleh agen jualan langsung yang menawarkan pelbagai hadiah lumayan untuk menarik pengguna menggunakan tipu daya dan helah mereka.

Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) telah banyak menerima aduan daripada pengadu-pengadu yang terpedaya dengan taktik jualan langsung seolah-olah gores dan menang ini sejak tahun 2007 lagi. Pada kali ini agen jualan langsung tidak lagi pergi ke rumah-rumah untuk untuk menawarkan hadiah yang lumayan kepada pengguna tetapi sebaliknya menggunakan talian telefon rumah dan telefon bimbit pengguna untuk menarik mangsa.

Mereka akan menawarkan hadiah lumayan disamping meminta wang pendahuluan sebanyak RM2,500.00 jika mahu memenangi hadiah tersebut. Hadiah-hadiah tersebut adalah berupaya kereta-kereta mewah, Set Home Teather rumah dan sebagainya. Agen tersebut juga mengukir janji mereka yang akan memulangkan wang tersebut selepas hadiah tersebut diterima.

Hal ini telah diketahui oleh pihak penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan pihak penguatkuasa telah membuat tangkapan secara besar-besaran di premis-premis agen jualan langsung tersebut iaitu Mega Intop Sdn Bhd dan Ekno Aktif pada tahun 2007.

Walaubagaimanapun sejak dua minggu kebelakangan ini, CAKE masih lagi menerima aduan daripada pengadu yang mendapat panggilan telefon daripada syarikat tersebut yang kononnya menawarkan hadiah yang lumayan kepada pengguna. Agen jualan langsung berkenaan tidak segan silu memberikan alamat mereka dan nombor telefon bimbit mereka kepada pengguna terbabit. Agen jualan langsung tersebut masih lagi bergiat aktif di Medan Kota, Alor Setar, Kedah Darul Aman.

Lebih menyedihkan apabila syarikat tersebut menggunakan nama syarikat besar yang menjual peralatan elektrik seperti sony dan Persatuan Pengilang Malaysia untuk meyakinkan pengguna. Wal hal apabila disiasat syarikat Sony dan Persatuan Pengilang Malaysia langsung tidak tahu menahu tentang pakej hadiah yang ditawarkan oleh Agen Jualan Langsung berkenaan.
Telah menjadi tanda tanya pengguna sama ada syarikat ini berdaftar ataupun tidak dengan KPDNHEP dibawah lesen jualan langsung. Tidak di sangka-sangka lagi agen tersebut tidak pernah berdaftar dengan KPDNHEP dan hanya berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sahaja. Ini bermakna perniagaan jualan langsung itu tidak sah dan nyata terdapat penipuan dalam pakej tersebut.

Saranan CAKE kepada pihak berkuasa agar cepat bertindak untuk membanteras gejala penipuan yang sedang giat dijalankan ini. Semakin lama masa dilengahkan semakin ramai pengguna akan ditipu

Tuesday, December 2, 2008

CAKE Bantah Penukaran Kotak Ikan Plastik Kepada Kotak Ikan Berinsulasi


Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) bantah arahan pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia menukar kotak ikan plastik kepada kotak ikan berinsulasi kepada pengusaha-pengusaha lori yang membawa ikan dari Thailand melalui pintu Bukit Kayu Hitam Ke Malaysia.

Tindakan ini dianggap tidak wajar oleh kerana penggunaan kotak ikan plastik (RM23) masih releven dan kosnya rendah berbanding penggunaan kotak ikan berinsulasi(RM140 - RM270).

Pada tahun 1988 Kementerian Industri yang ketika itu dikendalikan oleh Dato' Seri Sanusi Jonet bin Megat Ayub mengarahkan pengusaha-pengusaha lori yang membawa ikan dari Thailand ke Malaysia supaya menukar kotak ikan kayu kepada kotak ikan plastik atas sebab alasan kotak ikan kayu tidak releven yang menyusahkan pihak berkuasa untuk memeriksa senjata api oleh kerana kotak ikan kayu mengandungi paku.

Pengusaha-pengusaha lori akur ketika itu dan menukar kotak ikan kayu kepada kotak ikan plastik.

Kemudian pada 19 November 2008 arahan mengejut telah dikeluarkan oleh pihak LKIM agar semua pengusaha lori menukar kotak ikan plastik kepada kotak ikan berinsulasi. Hal ini boleh mengakibatkan kenaikkan harga kos penghantaran ikan ke Malaysia oleh kerana pengusaha lori yang mengangkut ikan terpaksa menanggung kos penukaran kotak ikan.

Tinjauan Persatuan Pengguna Kedah ke Bukit Kayu Hitam pada 1 Disember 2008 mendapati, pengusaha lori ikan enggan menukar kotak ikan mereka oleh kerana kotak ikan plastik hanya berharga RM23 dan harga kotak ikan berinsulasi berharga RM140 hingga RM270. Jika pengusaha lori menukar kotak ikan mereka, ini akan menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit dan untuk mengelakkan kerugian pengusaha lori akan menaikkan harga ikan import dari Thailand. Ini akan membebankan rakyat.

Tinjauan CAKE juga mendapati caj pemeriksaan keatas lori-lori ikan naik daripada RM18 ke RM70 oleh Majuikan Sdn Bhd hari ini. Ini difahamkan tindakbalas LKIM kepada pengusaha-pengusaha lori yang enggan menukar kotak ikan plastik ke kotak ikan berinsulasi.

Sekarang timbul tanda tanya disini, kenapa pihak LKIM sebelum ini mengenakan caj pemeriksaan lori ikan sebanyak RM18 sahaja tetapi bermula daripada 1 Disember 2008 dikenakan caj sebanyak RM70 yang kononnya pemeriksaan dibuat secara keseluruhan.

Tetapi adakah pada dahulunya pemeriksaan ini tidak dibuat secara keseluruhan? Ini adalah satu alasan yang tidak munasabah yang dibuat oleh Majuikan Sdn Bhd untuk menekan pihak pengusaha lori yang enggan menukar kotak ikan.

CAKE juga telah bertemu dengan pengusaha-pengusaha lori tersebut dan satu memorandum bantahan telah dikeluarkan. Isi memorandum tersebut adalah seperti berikut


Kotak ikan 30kg yang digunakan sekarang adalah sesuai kepada pengusaha-pengusaha pengangkutan yang membawa muatan ikan pada masa ini.

i) Harganya RM23.00 sekotak

ii) Ikan dibawa oleh lori Thailand dari Ranong, Phuket, Songkla, Patani, Nakon, Karabi, Trang dan Chun Pong yang kotak ikannya disediakan oleh pengusaha-pengusaha pengangkutan lori Malaysia. Tong ikan ini mudah dipunggah terutamanya ketika dipunggah dari Lori Thailand ke Lori Malaysia di Hatyai dengan menggunakan tenaga buruh kerana beratnya 30kg sahaja.

iii) Kotak plastic ikan ini tidak boleh digunakan kekal kerana ianya akan pecah bergantung kepada penggunaan kerja-kerja pemunggahan samada dipunggah dari lori Thailand ke lori Malaysia atau di pasar borong. Sekiranya harganya menjimatkan, bolehlah pengusaha menggantikannya jika berlaku kerosakan kepada kotak ikan tersebut. Tetapi kalau harga yang berganda mahal yang ditetapkan oleh LKIM sudah pasti pengusaha-pengusaha tidak mampu menukarnya.

iv) Pemborong-pemborong ikan lebih suka dibekalkan dengan kotak ikan 30kg yang digunapakai sekarang kerana kemampuan memasarkan ikan dengan jumlah berat tersebut.


Cadangan CAKE supaya LKIM menarik balik arahan menukar kotak ikan plastik kepada kotak ikan berinsulasi kerana ini akan mengakibat masalah kenaikan harga ikan di pasaran tempatan yang akan membebankan rakyat termasuk pihak LKIM sendiri.






Peniaga Digalak Beli Cili Thailand

Beli cili Thailand

Oleh ZULIATY ZULKIFFLI

Persatuan Pengguna Kedah (Cake) mencadangkan kerajaan mengimport cili merah dari Thailand jika harga cili yang kini mencapai RM21 sekilogram terus meningkat tinggi sehingga membebankan pengguna, terutama peniaga kedai makanan di negeri ini.
Presidennya, Datuk Yusoff Ismail, berkata beliau difahamkan, harga cili merah yang dijual di sekitar pasar basah di bandar raya ini meningkat sehingga mencecah RM21 sekilogram berbanding kelmarin iaitu RM15 sekilogram.

“Memang tak masuk akal dan peniaga memberi alasan faktor cuaca tidak menentu menyebabkan harga cili merah terpaksa dinaikkan, sedangkan sebelum ini tidak pula berlaku keadaan sebegini walaupun musim cuaca tidak menentu.

“Dalam keadaan kita berkempen untuk menurunkan harga barang sekarang ini, berlaku pula perkara seperti ini iaitu kenaikan harga bahan mentah yang tidak munasabah sehingga membebankan pengguna.


“Saya berharap masalah ini berjaya diatasi selain meminta peniaga tidak bermain harga pada waktu begini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Harian Metro kelmarin melaporkan, harga cili merah di bandar raya ini meningkat sehingga mencecah RM15 sekilogram dari harga asal RM9 sekilogram berbanding hanya RM6 sekilogram bulan lalu.

Yusoff berkata, beliau akan meminta kerajaan mengimport cili merah dari negara jiran yang lebih murah jika harga cili merah terus meningkat dari semasa ke semasa.
Katanya, jika berlaku kemasukan cili merah dari Thailand, beliau percaya ia akan memberi saingan harga terhadap peniaga untuk menjual cili merah pada harga lebih murah dan setanding dengan cili dari negara jiran itu.

“Kita tengok apa akan berlaku dan jika harga ini masih tidak berubah, kita buat apa yang termampu,” katanya.
Yusoff berkata, beliau bertemu kira-kira 20 pemborong di negeri ini Rabu lalu dan berbincang untuk menurunkan harga barang pada waktu ini.

“Mereka bersetuju dan kesannya dapat dilihat sekarang, harga banyak barangan diturunkan menyebabkan saya berpuas hati dengan tindakan pemborong bagi mengelak pengguna menanggung beban.

“Kita juga akan mengadakan perbincangan dengan peniaga, penternak dan pengilang dalam tempoh terdekat untuk memastikan kempen penurunan harga barang berjalan lancar,” katanya.

Yusoff berkata, beliau bersama pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah akan turun padang bagi membuat pemantauan berterusan.

Petikan Mingguan Metro bertarikh 30/11/2008

Sunday, November 30, 2008

Harga Cili Naik Mendadak

Harga cili semasa didapati naik mendadak daripada RM 6.00 sekilogram pada bulan lalu sehingga mencecah melebihi RM15.00 sekilogram di Pasar Besar, Alor Setar, Kedah hari ini.

Gerakan Pengguna Negeri Kedah yang dipengerusikan oleh Dato' Yusoff bin Ismail yang juga Presiden Persatuan Pengguna Kedah dan Pengerusi bersama En Salleh bin Makmor yang juga Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kedah telah meninjau ke Pasar Besar tersebut dan mendapati peniaga enggan menjual cili disebabkan harganya

yang terlalu tinggi yang mengakibatkan permintaan terhadap cili berkurangan.

Hasil soal siasat kebanyakkan pengguna mengeluh kekurangan cili di pasar-pasar borong dimana mereka mengambil sayuran setiap pagi. Mereka mendakwa lagi kekurangan cili ini adalah disebabkan cuaca buruk yang melanda negeri ini sejak 2 minggu yang lalu.

President Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) telah mengeluarkan kenyataan didalam akhbar metro yang menggesa agar kerajaan mengambil satu langkah inisiatif mengimport sayur-sayuran daripada Thailand untuk mengelakkan daripada kenaikan harga mendadak seperti ini.

Langkah ini dianggap bijak untuk mengelakkan kekurangan sayur-sayuran di pasaran. Pengajaran yang dapat disini, peniaga tidak boleh terlampau berharap kepada barangan mentah tempatan sahaja. Peniaga juga perlu memilih barangan mentah secara bijak untuk mengelakkan sebarang kenaikkan kos berlaku.