Wednesday, June 1, 2016



Bazaar Ramadhan atau Bazir Ramadhan?
 
Setiap tahun umat Islam di Malaysia akan menyambut kedatangan Ramadhan yang penuh berkah dan hikmah dan sangat-sangat dinantikan oleh orang-orang yang beriman. Dan secara tradisinya juga banyaklah Bazaar-Bazaar Ramadhan yang dianjurkan oleh pelbagai Pihak Berkuasa Tempatan untuk kemudahan orang-orang Islam membeli makanan mereka untuk juadah berbuka Puasa. Selain orang Islam turut sama menikmati kemudahan ini adalah orang-orang bukan Islam yang mana turut mengambil peluang membeli juadah makan malam mereka.

Pelbagai Gerai dan beraneka pilihan makanan boleh didapati di Bazaar Ramadhan sehinggakan makanan yang tidak pernah ditawarkan atau dijual pada hari biasa boleh didapati di bazaar Ramadhan. Inilah uniknya budaya dan tradisi di Malaysia. Hal ini juga menarik minat para pelancong untuk melihat dan menikmati makanan-makanan istimewa dan tradisi di Malaysia.

Namun begitu apa yang menyedihkan adalah pembaziran berleluasa berlaku setiap kali tibanya Bulan Ramadhan. Sekiranya disingkap kembali erti sebenar Berpuasa dalam konteks Islam adalah ‘Menahan Diri daripada Lapar dan Dahaga serta Perbuatan Dosa’
. Ini adalah bermakna Umat Islam di sarankan untuk berjimat-cermat pada bulan ini disamping merasa sendiri kesengsaraan mereka-mereka yang tidak berkeupayaan/berkemampuan/mangsa kebuluran dan sebagainya.Malangnya kita lupa semua ini, setiap kali tibanya bulan puasa, juadahnya dibeli mengalahkan tak makan setahun. Tetapi tidakkah Islam mengajar kita mengawal hawa nafsu kita?

Pada tinjauan Persatuan Pengguna Kedah, mendapati Pembaziran makanan pada Bulan Ramadhan melebihi pada bulan-bulan yang lain. Makanan yang masih lagi boleh dimakan, dibuang begitu sahaja akibat kekenyangan. Mengapakah perkara ini berlaku? Tidakkah umat Islam memahami Agama Islam yang sebenar. Firman Allah dalam

Surah Al-A’raff ayat 3 :

‘….dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampui batas’

Ayat ini terang menunjukkan maksudnya bahawa Allah melarang kita membazir. Dan Firman Allah…..

Surah Al-Israa’ Ayat 26 dan 27

Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.  

Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.

Seharusnya kita sebagai umat Islam memperbanyakkan sedekah jariah pada bulan Ramadhan ini daripada membuat pembaziran yang mana pembazir itu adalah saudara kepada Syaitan. Apabila kita mengambil ikhtibar daripada konteks berpuasa itu sendiri dapatlah disingkapkan bahawa berlaku penjimatan dalam berpuasa. Berpuasa adalah satu garis sempadan yang diletakkan supaya kita tidak melampaui batas.

Apa yang terbaik adalah sebagai umat Islam kita perbanyakkan Ibadah di Bulan Ramadhan dan memperbanyakkan sedekah dan berzakat supaya hidup lebih diberkati Allah.

Cukuplah sekadar berbuka dengan secara ala kadar yang mana berpuasa juga dapat menyihatkan tubuh badan, menguatkan imunisasi kita.

Semoga Bermanfaat
Sekadar renungan.

Mohamad Yusrizal bin Yusoff
Persatuan Pengguna Kedah

No comments: