Tuesday, December 2, 2008

Peniaga Digalak Beli Cili Thailand

Beli cili Thailand

Oleh ZULIATY ZULKIFFLI

Persatuan Pengguna Kedah (Cake) mencadangkan kerajaan mengimport cili merah dari Thailand jika harga cili yang kini mencapai RM21 sekilogram terus meningkat tinggi sehingga membebankan pengguna, terutama peniaga kedai makanan di negeri ini.
Presidennya, Datuk Yusoff Ismail, berkata beliau difahamkan, harga cili merah yang dijual di sekitar pasar basah di bandar raya ini meningkat sehingga mencecah RM21 sekilogram berbanding kelmarin iaitu RM15 sekilogram.

“Memang tak masuk akal dan peniaga memberi alasan faktor cuaca tidak menentu menyebabkan harga cili merah terpaksa dinaikkan, sedangkan sebelum ini tidak pula berlaku keadaan sebegini walaupun musim cuaca tidak menentu.

“Dalam keadaan kita berkempen untuk menurunkan harga barang sekarang ini, berlaku pula perkara seperti ini iaitu kenaikan harga bahan mentah yang tidak munasabah sehingga membebankan pengguna.


“Saya berharap masalah ini berjaya diatasi selain meminta peniaga tidak bermain harga pada waktu begini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Harian Metro kelmarin melaporkan, harga cili merah di bandar raya ini meningkat sehingga mencecah RM15 sekilogram dari harga asal RM9 sekilogram berbanding hanya RM6 sekilogram bulan lalu.

Yusoff berkata, beliau akan meminta kerajaan mengimport cili merah dari negara jiran yang lebih murah jika harga cili merah terus meningkat dari semasa ke semasa.
Katanya, jika berlaku kemasukan cili merah dari Thailand, beliau percaya ia akan memberi saingan harga terhadap peniaga untuk menjual cili merah pada harga lebih murah dan setanding dengan cili dari negara jiran itu.

“Kita tengok apa akan berlaku dan jika harga ini masih tidak berubah, kita buat apa yang termampu,” katanya.
Yusoff berkata, beliau bertemu kira-kira 20 pemborong di negeri ini Rabu lalu dan berbincang untuk menurunkan harga barang pada waktu ini.

“Mereka bersetuju dan kesannya dapat dilihat sekarang, harga banyak barangan diturunkan menyebabkan saya berpuas hati dengan tindakan pemborong bagi mengelak pengguna menanggung beban.

“Kita juga akan mengadakan perbincangan dengan peniaga, penternak dan pengilang dalam tempoh terdekat untuk memastikan kempen penurunan harga barang berjalan lancar,” katanya.

Yusoff berkata, beliau bersama pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah akan turun padang bagi membuat pemantauan berterusan.

Petikan Mingguan Metro bertarikh 30/11/2008

1 comment:

adan said...

saya dan rakan telah menjalankan satu projek penanaman cili merah di melaka,sebarang penjualan atau pembelian cili merah boleh hubungi saya.

Adan - 018 9095228