Tuesday, December 2, 2008

CAKE Bantah Penukaran Kotak Ikan Plastik Kepada Kotak Ikan Berinsulasi


Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) bantah arahan pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia menukar kotak ikan plastik kepada kotak ikan berinsulasi kepada pengusaha-pengusaha lori yang membawa ikan dari Thailand melalui pintu Bukit Kayu Hitam Ke Malaysia.

Tindakan ini dianggap tidak wajar oleh kerana penggunaan kotak ikan plastik (RM23) masih releven dan kosnya rendah berbanding penggunaan kotak ikan berinsulasi(RM140 - RM270).

Pada tahun 1988 Kementerian Industri yang ketika itu dikendalikan oleh Dato' Seri Sanusi Jonet bin Megat Ayub mengarahkan pengusaha-pengusaha lori yang membawa ikan dari Thailand ke Malaysia supaya menukar kotak ikan kayu kepada kotak ikan plastik atas sebab alasan kotak ikan kayu tidak releven yang menyusahkan pihak berkuasa untuk memeriksa senjata api oleh kerana kotak ikan kayu mengandungi paku.

Pengusaha-pengusaha lori akur ketika itu dan menukar kotak ikan kayu kepada kotak ikan plastik.

Kemudian pada 19 November 2008 arahan mengejut telah dikeluarkan oleh pihak LKIM agar semua pengusaha lori menukar kotak ikan plastik kepada kotak ikan berinsulasi. Hal ini boleh mengakibatkan kenaikkan harga kos penghantaran ikan ke Malaysia oleh kerana pengusaha lori yang mengangkut ikan terpaksa menanggung kos penukaran kotak ikan.

Tinjauan Persatuan Pengguna Kedah ke Bukit Kayu Hitam pada 1 Disember 2008 mendapati, pengusaha lori ikan enggan menukar kotak ikan mereka oleh kerana kotak ikan plastik hanya berharga RM23 dan harga kotak ikan berinsulasi berharga RM140 hingga RM270. Jika pengusaha lori menukar kotak ikan mereka, ini akan menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit dan untuk mengelakkan kerugian pengusaha lori akan menaikkan harga ikan import dari Thailand. Ini akan membebankan rakyat.

Tinjauan CAKE juga mendapati caj pemeriksaan keatas lori-lori ikan naik daripada RM18 ke RM70 oleh Majuikan Sdn Bhd hari ini. Ini difahamkan tindakbalas LKIM kepada pengusaha-pengusaha lori yang enggan menukar kotak ikan plastik ke kotak ikan berinsulasi.

Sekarang timbul tanda tanya disini, kenapa pihak LKIM sebelum ini mengenakan caj pemeriksaan lori ikan sebanyak RM18 sahaja tetapi bermula daripada 1 Disember 2008 dikenakan caj sebanyak RM70 yang kononnya pemeriksaan dibuat secara keseluruhan.

Tetapi adakah pada dahulunya pemeriksaan ini tidak dibuat secara keseluruhan? Ini adalah satu alasan yang tidak munasabah yang dibuat oleh Majuikan Sdn Bhd untuk menekan pihak pengusaha lori yang enggan menukar kotak ikan.

CAKE juga telah bertemu dengan pengusaha-pengusaha lori tersebut dan satu memorandum bantahan telah dikeluarkan. Isi memorandum tersebut adalah seperti berikut


Kotak ikan 30kg yang digunakan sekarang adalah sesuai kepada pengusaha-pengusaha pengangkutan yang membawa muatan ikan pada masa ini.

i) Harganya RM23.00 sekotak

ii) Ikan dibawa oleh lori Thailand dari Ranong, Phuket, Songkla, Patani, Nakon, Karabi, Trang dan Chun Pong yang kotak ikannya disediakan oleh pengusaha-pengusaha pengangkutan lori Malaysia. Tong ikan ini mudah dipunggah terutamanya ketika dipunggah dari Lori Thailand ke Lori Malaysia di Hatyai dengan menggunakan tenaga buruh kerana beratnya 30kg sahaja.

iii) Kotak plastic ikan ini tidak boleh digunakan kekal kerana ianya akan pecah bergantung kepada penggunaan kerja-kerja pemunggahan samada dipunggah dari lori Thailand ke lori Malaysia atau di pasar borong. Sekiranya harganya menjimatkan, bolehlah pengusaha menggantikannya jika berlaku kerosakan kepada kotak ikan tersebut. Tetapi kalau harga yang berganda mahal yang ditetapkan oleh LKIM sudah pasti pengusaha-pengusaha tidak mampu menukarnya.

iv) Pemborong-pemborong ikan lebih suka dibekalkan dengan kotak ikan 30kg yang digunapakai sekarang kerana kemampuan memasarkan ikan dengan jumlah berat tersebut.


Cadangan CAKE supaya LKIM menarik balik arahan menukar kotak ikan plastik kepada kotak ikan berinsulasi kerana ini akan mengakibat masalah kenaikan harga ikan di pasaran tempatan yang akan membebankan rakyat termasuk pihak LKIM sendiri.






No comments: