Tuesday, December 9, 2008

Masalah Rumah Terbengkalai di Taman Seri Derga Selesai

Datuk Yusoff sedang memerhatikan pemilik rumah
memasang pendawaiannya sendiri
Penduduk terpaksa mengangkut air dari sungai berdekatan
untuk mencuci rumah mereka

Presiden CAKE Datuk Yusoff sedang memerhatikan
Projek Perumahan Terbengkalai Taman Seri Derga Fasa 2


Gambar 29 buah rumah terbengkalai Taman Seri Derga 2


Alor Star - Seramai 29 pemilik rumah Taman Seri Derga Fasa 2 di sini menarik nafas lega apabila projek perumahan itu yang terbengkalai sejak dua tahun kini telah boleh diduduki oleh penduduk.

Projek perumah yang mula dibina pada September 2004 itu telah ditinggalkan pemaju setelah kerja pembinaan tinggal 20 peratus lagi.

Hasil bantuan Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) taman tersebut sudah boleh dibekalkan dengan elektrik oleh TNB yang dibiayai sendiri oleh pembeli-pembeli rumah.

Seorang pemilik, Norishah Hanafi, 43 tahun berkata, setelah hampir dua tahun terpaksa membayar hutang bank untuk membeli rumah berkenaan, dia kini lega apabila rumah tersebut boleh diduduki.

Menurutnya, beliau terpaksa membayar pinjaman bank sebanyak RM535 sebulan sedangkan rumah yang dibeli itu tidak boleh diduduki walaupun dijadualkan siap pada tahun 2006.

"Saya lega apabila CAKE bersetuju membantu pembeli rumah di taman ini termasuk mendapatkan CF," katanya yang bekerja sebagai penyelia syarikat swasta ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Selain itu, Norishah berkata, sepanjang projek tersebut terbengkalai, rumah mereka dijadikan sarang penagih dan tempat maksiat oleh pasangan remaja.

Seorang lagi pemilik, Mohd Tajudin Abdul Salam,52 pula memberitahu tidak cukup memikir masalah pemaju yang 'hilang', ada pihak lain pula mengambil kesempatan mencuri pintu, tingkap, dan pagar rumah mereka yang telah dipasang oleh pemaju sebelum ini.

Katanya, biarpun nasib mereka tidak ubah seperti 'sudah jatuh ditimpa tangga' namun segala masalah tersebut berjaya diselesaikan CAKE walaupun terpaksa mengeluarkan sedikit perbelanjaan sendiri untuk membeli semula barangan yang dicuri.

Sementara itu, menurut Presiden CAKE, Datuk Yusoff Ismail, kejayaan itu diperoleh apabila pemilik rumah bersetuju untuk membersihkan persekitaran yang dipenuhi semak-samun.

" CAKE telah mengemukakan permohonan kepada TNB untuk menyalurkan bekalan elektrik ke rumah-rumah di taman itu" ujarnya.

Tambahannya kini semua pemilik boleh menduduki rumah masing-masing walaupun terdapat sebahagian rumah yang masih belum dibekalkan elektrik.

Dipetik daripada KOSMO! bertarikh 6 Disember 2008

No comments: