Monday, June 6, 2016

Peniaga Untung, Pengguna Teraniaya



Peniaga Untung, Pengguna Teraniaya

Bulan Ramadhan ini telah memberi ruang dan peluang kepada peniaga-peniaga kecil membuka Bazaar dan Gerai makanan untuk juadah berbuka puasa di Kawasan-kawasan yang dianjurkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Barang diingat bukan semua peniaga itu beretika. Ada diantara peniaga bazaar yang memikirkan tentang keuntungan semata-mata tanpa memikirkan keselamatan dan kesihatan pengguna. Seperti tahun-tahun lalu, kita banyak mendengar berlakunya keracunan makanan pada bulan Ramadhan. Ini disebabkan kebanyakkan pengguna memikirkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan keselamatan orang lain dalam erti kata lain ‘meniaga tak ikhlas’.

Perkara ini adalah perkara yang sukar dibendung disebabkan dari segi rupa, saiz dan bentuk makanan tercemar ini adalah sama seperti yang biasa. Ini menyukarkan pengguna untuk mengesan makanan tersebut boleh dimakan atau tidak. Mencium atau mengambil bau adalah salah satu langkah untuk mengenalpasti makanan tercemar. Deria bau ini bukan saja boleh mengenalpasti makanan tercemar, ramuan dalam makanan juga boleh dikesan (sekiranya anda pandai memasak).

Walau bagaimanapun pengguna mempunyai hak untuk memilih. Carilah gerai yang bersih dan diyakini kebersihannya. Walaubagaimanapun Bazaar ini adalah salah satu kemudahan untuk juadah umat Islam berbuka puasa. Langkah yang terbaik adalah memasak sendiri juadah untuk  berbuka.

Sekian 

Mohamad Yusrizal Yusoff
 Persatuan Pengguna Kedah

Wednesday, June 1, 2016



Bazaar Ramadhan atau Bazir Ramadhan?
 
Setiap tahun umat Islam di Malaysia akan menyambut kedatangan Ramadhan yang penuh berkah dan hikmah dan sangat-sangat dinantikan oleh orang-orang yang beriman. Dan secara tradisinya juga banyaklah Bazaar-Bazaar Ramadhan yang dianjurkan oleh pelbagai Pihak Berkuasa Tempatan untuk kemudahan orang-orang Islam membeli makanan mereka untuk juadah berbuka Puasa. Selain orang Islam turut sama menikmati kemudahan ini adalah orang-orang bukan Islam yang mana turut mengambil peluang membeli juadah makan malam mereka.

Pelbagai Gerai dan beraneka pilihan makanan boleh didapati di Bazaar Ramadhan sehinggakan makanan yang tidak pernah ditawarkan atau dijual pada hari biasa boleh didapati di bazaar Ramadhan. Inilah uniknya budaya dan tradisi di Malaysia. Hal ini juga menarik minat para pelancong untuk melihat dan menikmati makanan-makanan istimewa dan tradisi di Malaysia.

Namun begitu apa yang menyedihkan adalah pembaziran berleluasa berlaku setiap kali tibanya Bulan Ramadhan. Sekiranya disingkap kembali erti sebenar Berpuasa dalam konteks Islam adalah ‘Menahan Diri daripada Lapar dan Dahaga serta Perbuatan Dosa’
. Ini adalah bermakna Umat Islam di sarankan untuk berjimat-cermat pada bulan ini disamping merasa sendiri kesengsaraan mereka-mereka yang tidak berkeupayaan/berkemampuan/mangsa kebuluran dan sebagainya.Malangnya kita lupa semua ini, setiap kali tibanya bulan puasa, juadahnya dibeli mengalahkan tak makan setahun. Tetapi tidakkah Islam mengajar kita mengawal hawa nafsu kita?

Pada tinjauan Persatuan Pengguna Kedah, mendapati Pembaziran makanan pada Bulan Ramadhan melebihi pada bulan-bulan yang lain. Makanan yang masih lagi boleh dimakan, dibuang begitu sahaja akibat kekenyangan. Mengapakah perkara ini berlaku? Tidakkah umat Islam memahami Agama Islam yang sebenar. Firman Allah dalam

Surah Al-A’raff ayat 3 :

‘….dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampui batas’

Ayat ini terang menunjukkan maksudnya bahawa Allah melarang kita membazir. Dan Firman Allah…..

Surah Al-Israa’ Ayat 26 dan 27

Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.  

Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.

Seharusnya kita sebagai umat Islam memperbanyakkan sedekah jariah pada bulan Ramadhan ini daripada membuat pembaziran yang mana pembazir itu adalah saudara kepada Syaitan. Apabila kita mengambil ikhtibar daripada konteks berpuasa itu sendiri dapatlah disingkapkan bahawa berlaku penjimatan dalam berpuasa. Berpuasa adalah satu garis sempadan yang diletakkan supaya kita tidak melampaui batas.

Apa yang terbaik adalah sebagai umat Islam kita perbanyakkan Ibadah di Bulan Ramadhan dan memperbanyakkan sedekah dan berzakat supaya hidup lebih diberkati Allah.

Cukuplah sekadar berbuka dengan secara ala kadar yang mana berpuasa juga dapat menyihatkan tubuh badan, menguatkan imunisasi kita.

Semoga Bermanfaat
Sekadar renungan.

Mohamad Yusrizal bin Yusoff
Persatuan Pengguna Kedah

Tuesday, May 24, 2016

Isu Pembelian Barangan Elektrik



Barangan elektrik adalah salah satu barangan keperluan semasa pengguna. Barangan elektrik ini merupakan kemudahan kepada pengguna dalam menjalani kehidupan mereka. Sebagai contoh penggunaan periuk nasi yang mana pengguna tidak perlu lagi memasak nasi menggunakan dapur api atau dapur gas, hanya memasukkan air didalam beras dan menekan satu suis sahaja nasi tersebut akan masak sepenuhnya.

Namun cabaran pengguna pada masa kini adalah kualiti barangan yang dibeli berbanding dengan harga yang dibeli. Banyak kedai-kedai elektrik tumbuh bagaikan cendawan yang menawarkan pelbagai harga dan pakej-pakej yang menarik selepas pembelian barangan elektrik tersebut. Kedai-kedai elektrik ini juga akan melantik jurujual yang mana bertujuan untuk mempromosikan barangan mereka. Ada juga barangan elektrik ini dijual dari rumah ke rumah yang kini jarang-jarang sekali didapati.

Kenapa barangan elektrik perlu ada jaminan?

Pada kebiasaannya barang-barangan elektrik mempunyai jaminan. Menurut kajian Persatuan Pengguna Kedah, ejen-ejen jualan (Kedai Elektrik) berisiko 50% untuk barangan tersebut rosak atau tidak berfungsi atau tidak mengikut speksifikasi. Kebanyakkan barangan elektrik yang dibeli oleh pengguna akan rosak atau tidak berfungsi selepas beberapa ketika penggunaannya. Pada masa inilah kad jaminan (warranty card) itu berguna kepada pengguna. Namun sejauh mana jaminan ejen jualan untuk memperbaiki barangan elektrik tersebut? Ada pula pengguna merungut menyatakan bahawa barangan yang diperbaiki terpaksa dihantar berulang kali kepada pihak jualan untuk diperbaiki kerana terlalu kerap rosak. Ada pula sesuatu barang yang dihantar mengambil masa yang terlalu lama untuk diperbaiki sehinggakan pengguna tidak dapat menggunakan barangan tersebut dalam tempoh yang lama.

Daya tarikan jurujual (promoter).

Dalam mana-mana perniagaan sekalipun, jurujual atau promoter berfungsi sebagai ejen mempromosikan barangan. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk melariskan jualan mereka. Kami banyak menerima aduan mengenai salah faham antara jurujual dan pengguna yang mana jurujual memberikan maklumat tidak tepat yang menarik hati pengguna menyebabkan pengguna membeli produk tersebut. Apabila produk itu dibeli, didapati apa yang diperkatakan tidak terdapat dalam produk tersebut. Ini menyebabkan pengguna teraniaya dalam urusan jual beli ini.

Pembelian barangan elektrik secara bayaran ansuran.

Pada hari ini, barangan elektrik dijual dengan pelbagai harga dan nilai hingga mencecah puluhan ribu ringgit menyebabkan pengguna cenderung untuk memiliki barangan itu secara hutang atau bayaran ansuran. Bayangkan perkara yang kami sebutkan diatas berlaku? Barangan tidak dapat digunakan dan hutang perlu dibayar. Daripada sini berlakulah hutang tertunggak dikalangan pengguna sehingga peringkat nama pengguna disenaraihitamkan. Kebanyakkan pengguna jarang-jarang sekali meneliti kontrak pembelian sebelum membeli sesuatu barangan. Ini memberi advantage kepada Peniaga untuk meletakkan terma-terma yang memihak kepada mereka.

Barang diingat pembayaran ansuran kebiasaanya berharga 3 atau 4 kali ganda tinggi daripada harga barangan tersebut. Setahun dua tahun memanglah boleh bayar. Tapi kalau sampai 3 tahun? Barang tu pun kita tak tahu boleh guna ka tidak.

Disini Persatuan Pengguna Kedah menasihatkan pengguna agar menjadi pengguna yang bijak dan menggunakan hak sebagai pengguna iaitu hak untuk memilih.

Berikut adalah beberapa tips dan panduan pengguna untuk membeli barangan elektrik.

1.       Mengenalpasti Jenama dan Buatan Barangan Elektrik
2.       Mengenalpasti Tarikh Pembuatan Barangan Elektrik
3.       Tidak terpengaruh semata-mata dengan ejen jurujual dan iklan – membuat kajian terperinci tentang jenama dan kualiti barangan.
4.       Mencuba terlebih dahulu barangan elektrik sebelum membeli
5.       Meneliti kontrak pembelian dan mempertimbangkan kontrak pembelian.
6.       Banyak bertanya kepada jurujual tentang produk dan mempertimbangkan segala jawapan.
7.       Memeriksa dengan teliti jaminan keatas barangan yang diberikan.

Sekian

Mohamad Yusrizal bin Yusoff
Setiausaha
Persatuan Pengguna Kedah

Sunday, February 9, 2014

Langkah Pengusaha Kedai Makanan Menjual Barangan dengan harga yang murah patut dicontohi

Dalam keadaan peningkatan Kos Sara Hidup yang membelenggu rakyat pada masa kini pengguna disarankan mengambil langkah bijak dalam mengatur belanjawan mereka. Pada masa kini, pelbagai pilihan boleh dibuat pengguna mengikut pendapatan masing-masing. Namun ada jenis-jenis barangan yang pengguna tidak dapat lari daripada menerima kesan kenaikan kos sara hidup mereka. Tidak semua pengguna mempunyai masa untuk pulang untuk makan tengahari di rumah untuk menjimatkan kos mereka. Kebanyakkan pengguna akan keluar seawal pagi untuk pergi kerja dan pulang selewat malam. Kebanyakkan mereka akan makan di luar.

Walaupun wujudnya pelbagai NGO, Jabatan dan Agensi Kerajaan yang menubuhkan Skuad Pemantau Harga Barang, namun kita lupa bahawa Restoran-restoran dan kedai-kedai makan sedang giat menaikkan harga makanan mereka. Apabila kami menemubual seorang pengusaha kedai makanan, mereka menyatakan bahawa harga kos barangan makanan naik melambung seperti ikan kembung, ayam, daging dan sayur-sayuran. Kita akui bahawa barangan ini akan naik melambung diatas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan seperti faktor cuaca dan jumlah permintaan yang tinggi pada musim-musim tertentu. Tetapi apabila harga barangan ini kembali stabil, harga makanan tersebut tidak turun seperti yang diharapkan. Apabila sekali lagi barangan tersebut naik, pengusaha sekali lagi akan menaikkan harga makanan mereka.

Hasil Pemantau pihak kami, walaupun terdapat kedai-kedai makan yang menaikkan harga makanan mereka dengan sesuka hati, ada juga kedai-kedai yang menjual makanan mereka jauh lebih murah daripada biasa. Terpulanglah kepada pengguna untuk memilih kedai-kedai makan mereka. Diseluruh Negeri Kedah sahaja terdapat beribu Restoran, Kedai Makanan, Cafeteria, Kantin, Warung, Gerai yang menyajikan pelbagai jenis masakan untuk dinikmati. Jadi pengguna mempunyai kuasa untuk membuat pilihan.

Sekiranya pengguna tidak mengunjungi kedai-kedai yang menaikan harga makan dengan sesuka hati ini, secara tidak langsung perniaggan mereka akan terjejas kerana kekurangan pelanggan.Akhirnya dengan sendirinya mereka akan menurunkan harga makanan mereka. Inilah dinamakan Persaingan.

Tinjauan pihak kami juga mendapati, terdapat sesetengah kedai-kedai makanan menubuhkan NGO mereka sendiri dan berpakat untuk menaikkan harga sehingga membebankan pengguna. Perkara ini dikesan banyak berlaku di kawasan-kawasan bandar sehingga tidak wujud persaingan lagi. Pengguna terbeban dengan perkara ini dan berlakunya peningkatan kos sara hidup mereka. Perkara ini pernah diketengahkan oleh pihak kami dan kerajaan mengambil inisiatif dengan mewujudkan Akta Persaingan. Harapan kami agar akta ini akan dipergunakan dengan sebaik-baiknya bagi memastikan hak-hak pengguna dilindungi.

Monday, February 3, 2014

Berhati-hati dengan tawaran pakej Jurugambar Perkahwinan

Perihal kisah Pengadu yang melangsungkan perkahwinannya pada tahun 2009. Beliau telah melanggan satu pakej yang ditawarkan oleh seorang Jurugambar yang menawarkan pakej istimewa kepada beliau dengan harga jauh lebih rendah daripada Jurugambar yang lain iaitu RM1+++ (indoor + outdoor). Pihak Jurugambar meminta deposit sebanyak RM 500.00 untuk pakej tersebut.

Oleh kerana pakej yang ditawarkan menarik, tanpa berfikir panjang pengguna membayar deposit berjumlah RM 500.00 untuk majlis perkahwinannya. Beliau tidak menyedari bahawa jurugambar itu tidak mempunyai pendaftaran syarikat yang sah dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Namun beliau tertarik dengan tawaran-tawaran istimewa dan harga yang rendah yang ditawarkan oleh jurugambar tersebut.

Pada hari perkahwinan beliau, jurugambar meminta supaya pengadu membayar keseluruhan jumlah yang dijanjikan. Tanpa berfikir panjang kerana kesibukan dalam menguruskan majlis perkahwinan, pengadu membayar keseluruhan wang tersebut.

Namun sehingga kini, gambar atau foto untuk Majlis Pernikahan dan Majlis Perkahwinan tidak diterima oleh pengadu. Pengadu berkali-kali menghubungi Jurugambar tersebut namun gagal. Perkara ini telah diketengahkan pengadu ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia namun tetap menemui jalan buntu. Pihak jurugambar tersebut juga gagal untuk menghadiri ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia pada tarikh yang ditetapkan.

Pengadu diarah untuk menengahkan perkara ini ke Mahkamah Sivil. Tetapi oleh kerana beliau tidak mampu untuk melantik peguam sehingga kini tiada tindakan yang dapat diambil.

Friday, July 31, 2009

CAKE MINTA KPDNKK MENGHARAMKAN PENGGUNAAN ELECTRONIC CAPTURED MACHINE SECARA BERLELUASA

Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) menggesa supaya pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,Koperasi dan Kepenggunaan agar dapat mengharamkan penggunaan Electronic Captured Draft Machine (mesin leret kad kredit) ke merata-rata tempat.

Persatuan Pengguna Kedah juga menggesa supaya pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Bank Negara supaya dapat mengadakan satu garis panduan penggunaan Electronic Captured Draft Machine supaya peniaga tidak membawa mesin tersebut luar daripada permis perniagaan mereka.

Persatuan Pengguna Kedah telah menerima dua aduan daripada pengadu yang berasal dari sekitar Alor Setar yang telah tertipu dengan helah peniaga. Wakil daripada syarikat meminta kad kredit pengadu dengan alasan mereka hendak memeriksa baki sahaja tetapi malangnya mereka mengambil kesemua wang yang ada. Pihak pengadu juga memberitahu pihak bank telah mengeluarkan kesemua wang tersebut walaupun tanpa tandatangan dan persetujuan daripada pengadu.

Oleh yang demikian, Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) menggesa supaya pihak KPDNKK dan BNM mengambil tindakan segera.

Sunday, May 24, 2009

Beras ST 15 tiada di pasaran


ALOR STAR 23 Mei – Ketiadaan beras super special tempatan (ST) 15 peratus hancur di pasaran sejak dua bulan lalu kembali meresahkan para pengguna di negeri ini.

Tinjauan Mingguan Malaysia di beberapa buah kedai runcit di bandar raya ini mendapati hanya beras super special tempatan ST lima peratus hancur dan ST sepuluh peratus hancur ada di rak-rak menjual beras.

Beras SST 15 peratus hancur yang berharga RM16.50 bagi setiap 10 kilogram menjadi pilihan bagi mereka yang berpendapatan rendah namun ketiadaan beras ini di pasaran membuatkan pengguna tertanya-tanya ke mana beras itu menghilang.

Seorang peruncit, Haziah Mohd. Taharin, 47, berkata, dia tidak mendapat bekalan beras ST 15 peratus hancur daripada pemborong sejak tiga bulan lalu.

“Ramai pengguna merungut apabila beras ini tiada di pasaran kerana harga beras lain agak mahal.

“Bagi mereka yang berpendapatan kecil dan mempunyai bilangan keluarga yang ramai sudah tentu sukar bagi mereka kerana terpaksa membeli beras gred lain yang tinggi harganya,” ujarnya ketika ditemui di sini kelmarin.

Menurut Haziah, apabila bertanya kepada pemborong mengenai bekalan beras gred tersebut, jawapan yang diterima amat mendukacitakan.

“Saya baru telefon pemborong hari ini dan mereka kata bekalan beras tersebut tiada pada mereka kerana pembekal tidak hantar beras tersebut.

“Saya pun tidak tahu bagaimana nak jawab lagi kepada pengguna yang selalu bertanya mengapa beras ST 15 peratus hancur tiada di kedai saya,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusuff Ismail berkata, pihaknya menerima rungutan daripada pengguna di seluruh daerah mengenai ketiadaan beras ST 15 peratus hancur di pasaran.

“Masalah ini bukan berlaku di daerah Kota Setar sahaja namun ia turut melibatkan ke daerah-daerah seperti Kubang Pasu, Padang Terap, Kulim dan sebagainya.

“Jika keadaan ini berterusan beban kewangan para pengguna akan bertambah terutama kepada mereka yang berpendapatan kecil,” jelasnya.

Kata Yusuff, pihaknya menerima maklumat bahawa ada sesetengah pemborong yang cuba mengaut keuntungan dengan menukar gred beras.

“Ada pemborong yang menerima permit untuk memproses beras ST 15 namun apabila mereka menerima stok beras tersebut, mereka akan memproses beras ini untuk dijadikan beras super special tempatan ST lima peratus hancur dan ST sepuluh peratus hancur.